Bab 4
"KAK OLIN, saya nak keluar kejap." Aku beritahu kepada Kak Olin. Minggu ni minggu terakhir aku berada di sini, jadi aku kena selesaikan masalah jam milik Si Ziyad Shaari dengan kadar segera. Ini pun aku rasa dah hampir seminggu barang orang tu ada di dalam simpananku. Dari sehari ke sehari asyik lupa saja nak pulangkan. Tak naklah simpan lama-lama.
"Rissa nak ke mana?" soal Kak Olin.
"Ada hal sikit. Nak pulangkan barang pada seseorang."
Kak Olin tak tanya lagi selepas itu. Kak Yan pula masih sibuk dengan kerja-kerja mengira keuntungan.
Berpandukan alamat yang diberikan oleh lelaki bernama Ziyad, aku melangkah perlahan ketika menuju ke bangunan berbelas tingkat yang terletak betul-betul di tengah pusat bandar Petaling Jaya.
Sudah lama aku hendak berkunjung ke sini tapi masa tidak mengizinkan. Hari ini baru aku berkesempatan.
Aku bukan sengaja. Tapi aku betul-betul tak ada masa hendak pulangkan semula jam mahal milik lelaki yang bernama Ziyad itu.
"Cik, boleh saya jumpa dengan Encik Ziyad?" Aku tanya kepada gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu.
"Encik Ziyad? Setahu saya, tak ada pekerja nama Ziyad di sini." Gadis itu kerutkan dahi.
"Mustahil tak ada sebab dia yang bagi alamat tempat dia bekerja." Aku pula yang kerut dahi.
"Serius, cik. Memang tak ada nama pekerja seperti cik sebutkan. Lelaki tu ada janji apa-apa ke?" Gadis berambut panjang cecah bahu itu pandang aku. Seperti dia tumpang sama bimbangkan sesuatu. Mungkin dia fikir aku sudah tertipu.
"Dia tipu cik ke?" tanya penyambut tetamu itu lagi. Bunyinya macam kepohci tetapi aku tahu dia ikhlas bimbang aku tertipu.
"Tidak, saya nak pulangkan barang berharga milik dia. Dah lama sangat saya simpan. Tak apalah. Terima kasih," balasku. Memang gadis ini layak bekerja sebagai penyambut tetamu kerana orangnya bukan saja cantik tetapi baik hati sama. Tetap layan aku dengan baik walau aku ini kelihatan orang biasa-biasa saja.
"Maaf, saya tak dapat bantu cik." Dia tersenyum cantik.
"Eh, tak apa. Salah saya ni sebab suka sangat tangguhkan semua benda."
"Insya-Allah, nanti cik jumpa juga dia tu." Gadis itu seperti memberi harapan untukku.
"Harap macam tu la. Terima kasih sekali lagi."
Aku minta diri selepas itu.
Baru berjalan beberapa tapak, aku dipanggil semula oleh gadis penyambut tetamu. Bila aku pusing, ada lelaki berdiri bersebelahan dengannya sambil pandang aku. Laju langkah menghampiri mereka semula.
"Saya dengar awak cari Ziyad?" Lelaki yang nampak masih muda itu bertanya dengan suara yang agak tegas. Kecut juga perut mendengar suara lelaki itu. Dia bertanya seperti aku ada buat salah dengan Ziyad.
Aku angguk dan berusaha untuk bertenang. Aku tak salah apa-apa kecuali kalau lelaki hari tu tukar kenyataan. Contohnya dia kena rompak ke.
"Saya kenal dia. Boleh saya bantu?" kata lelaki yang memakai kemeja kuning air bersama tali leher corak petak-petak warna coklat. Kalau Adibah tengok, mesti tak menang mulut Adibah gelak.
"Boleh tolong pulangkan jam tangan dia?" Aku keluarkan jam tangan milik Ziyad dari beg galas dan hulur kepadanya. Dia belek seketika.
"Betul. Jam ni memang milik dia."
"Siapa Ziyad?" soal si gadis penyambut tetamu. Maknanya memang betullah Ziyad tu orang tak berapa nak kenal.
"CEO baru Kelana Holding!"
Melopong terus si penyambut tetamu. Aku pun melopong sama. Rupa-rupanya hari tu aku dah pinjamkan duit kepada seorang CEO. Padanlah tak nak terima sedekah.
"Saya balik dulu. Terima kasih." Cepat-cepat aku minta diri. Kerja dah selesai. Tak kesahlah siapa pemilik jam tersebut. Yang penting, aku dah selesaikan kerja aku.
Lega perasaan. Satu beban amanah sudah berakhir. Ketika keluar dari lobi bangunan, tiba-tiba saja boleh terserempak dengan Yani. Bergaya sungguh sepupu aku ni.
"Apa kau buat di sini?" soal Yani dengan nada tak menyenangkan. Tanya serupa bangunan mewah ini milik pak ngah saja.
"Aku jumpa kawan. Kenapa?" Saja tipu Yani, biar dia gerun sikit.
"Kawan? Eh, jangan nak menipulah kau ada kawan kerja kat sini." Nada menghina, tapi aku tak kesah. Dah biasa dengan perangai Yani.
"Aku tak paksa kau percaya. Kau yang tanya." Aku ketawa selepas itu. Ketawakan kebodohan Yani.
"Dahlah. Menyesal aku tegur kau. Takut nasib buruk kau tu melekat pula kat badan aku. Kalau aku tak dapat kerja, siap kau!" Yani berlalu dengan angkuh.
Minta kerja rupanya. Nak ribut ke hari ni? Ratu pemalas tu nak kerja? Wah! Sudah bagus. Harap bertahan lama. Barulah dia tahu nak cari duit tu senang ke tidak.
Aku terus melangkah. Nak sambung kerja. Ketika sudah berada di luar bangunan, aku mendongak untuk melihat bangunan yang gah. Di sinilah lelaki ala-ala model pisau cukur tu bakal berkuasa. Serius, memang aku dah lupa muka dia. Tak mengapalah. Semoga dia terus berjaya dalam kerjaya dia.
MASA aku sampai rumah, waktu menunjukkan hampir sepuluh malam, tiga beranak yang sedang duduk di ruang tamu seperti sedang meraikan sesuatu. Nampak gembira benar. Aku rasa seperti tahu saja kenapa mereka gembira. Maknanya Yani dapat kerja yang dia minta itu. Cepatnya. Selalu dua tiga hari juga baru jawapan diberikan.
"Ni KFC, aku belanja." Yani pelawa aku dengan kasar. Memang dia ni jenis tak tahu nak cakap elok sikit agaknya. Ajak makan serupa nak pergi ajak gaduh. Tapi tak kesahlah. Orang kata, musuh jangan dicari. Rezeki jangan ditolak. Laju saja aku ke singki. Basuh tangan sebersihnya dan kembali ke ruang tamu.
Aku duduk bersebelahan mak ngah yang sedang makan. Kemudian lihat ke dalam kotak KFC dan pilih paha ayam goreng.
"Terima kasih, Yani." Aku cari sos cili pula.
"Kau tengok anak aku, sekali minta kerja aje dah dapat. Itulah pentingnya pelajaran tinggi. Dapat kerja bagus. Gaji mahal." Mak ngah mula dah. Kalau tak masuk bakul angkat sendiri memang tak sah.
"Alhamdulillah. Bolehlah tolong ayah bayar duit rumah, duit kereta. Senang sikit hati ayah. Emmm, lepas ni Rissa tak payah susah-susah dah. Kalau Rissa nak pindah duduk rumah lain pun boleh." Pak ngah bersuara. Aku rasa pak ngah sedang menyindir mak ngah dan Yani dengan bahasa paling indah untuk didengar. Sebab itu aku macam nak gelak pun ada.
"Betul, pak ngah?" Aku pula yang bersemangat. Kalau boleh memang nak keluar dari sini kejap ini juga. Sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan muka-muka yang tidak aku berapa suka.
"Betullah. Pak ngah tahu, dalam setahun ni memang Rissa tak sabar nak cari rumah lain. Sekarang, pak ngah izinkan. Asalkan pandai jaga diri."
"Terima kasih, pak ngah. Kebetulan saya kena transfer balik ke Cameron Highlands. Lusa saya dah kena balik sana." Akhirnya aku beritahu juga.
"Kena transfer Cameron Highlands? Baguslah. Taklah usang rumah tinggalan arwah tu. Memang tempat Rissa kat situ pun," balas pak ngah.
"Awak ni, bang. Senang-senang suruh Rissa pindah. Kereta, rumah kita siapa yang nak tolong bayar?" Mak ngah menyampuk. Muka mak ngah nampak cemas. La, selama ni bukan main tak suka aku tinggal di rumah dia.
"Yani kan ada. Awak cakap gaji dia pun tinggi. Takkan tak boleh nak tolong saya sikit-sikit. Kan, Yani?" Pak ngah pandang anak tunggalnya. Seperti sedang menaruh harapan yang sangat tinggi.
"Apa pula?" Yani pamer muka kurang senang. Sebenarnya takut tu. Takut nak tolong ayah sendiri. Entah anak jenis apalah. Kalau aku masih ada ayah, memang aku korbankan segalanya untuk ayah aku. Maka betul kata orang, bila ada tak dihargai. Bila sudah tiada barulah sedar akan ketiadaannya.
"Kalau tidak, tak guna ayah hantar Yani belajar tinggi-tinggi. Rissa yang kerja kedai bunga pun boleh tolong ayah, takkan Yani tak boleh."
Yani buat muka lagi. Mak ngah pula terkena batang hidung sendiri. Nak cakap lebih-lebih sudah tak boleh sebab tadi bukan main masuk bakul angkat sendiri. Sekarang terimalah padahnya. Hmmm, bukanlah aku nak cakap besar. Dengan perangai pak ngah yang suka bertukar kerja pasti menimbulkan masalah buat Yani nanti.
Aku habiskan makan ayam goreng dengan cepat sebab sudah tak sabar nak mengemas. Sudah terbayang rumah tinggalan arwah ayah. Rindu sangat suasana tenang dan dingin Cameron Highlands.
Selesai makan, aku ke bilik. Nak kemas apa patut. Bukan banyak barang pun. Pakaian semata, itu pun tak sampai dua beg. Macam yang aku rancangkan, aku naik bas sampai Tapah. Nanti Pak Saad tukang kebun yang bekerja di kebun bunga Kak Yan akan jemput aku di Tapah.
Mak ngah datang masa aku kemas pakaianku. Masih ada perkara yang belum selesai lagi ke? Tapi yang pasti mak ngah tetap tak puas hati dengan aku.
"Kau ingat kau boleh pergi macam tu saja?" Mak ngah marah aku.
"La, selama ni bukan ke mak ngah memang mintak saya cepat berambus? Kenapa mak ngah bising pula bila saya nak keluar? Janganlah cakap tak serupa bikin. Takkan rasa tergugat kut?" Aku perli mak ngah. Siapa suruh mak ngah kacau aku, dapatlah dengan aku.
"Aku sikit pun tak tergugat. Lagi senang kau tak ada dalam rumah ni."
"Dah tu, kenapa bising lagi?"
"Aku tak kira, walaupun kau dah pindah, kau kena bagi aku duit juga."
Tak puas hati pasal duit rupanya.
"Tengoklah nanti macam mana. Pak ngah sendiri dah cakap tadi, saya boleh mulakan hidup baru. Mak ngah tak dengar ke, pak ngah cakap saya dah tak perlu bagi duit kat pak ngah. Kalau pak ngah pun dah tak nak duit saya, tak ada sebab untuk saya bagi duit pada mak ngah. Errr, boleh tak jangan ganggu saya? Saya nak mengemas ni." Aku halau mak ngah dengan cara sopan. Kalau dengan cara kasar, nanti mak ngah ungkit macam-macam.
"Memang dasar tak sedar diri. Tak tahu diuntung. Kau kena sedar sikit. Sejak ayah kau mati, siapa yang banyak bantu kau? Siapa yang selalu kirim duit pada kau?" Mak ngah ungkit juga.
"Sebab saya ingat jasa baik pak ngahlah, saya tinggal di sini. Kalau ikutkan saya, lebih baik saya tinggal di bilik stor kedai bunga saja. Lagipun yang bagi duit tu pak ngah. Duit pak ngah. Bukan duit mak ngah. Tak ada sebab saya nak bagi duit kat mak ngah." Aku menjawab. Seronok juga menjawab ni.
"Duit laki aku, duit aku sama!" Mak ngah tetap tak mahu kalah.
"Itu yang silapnya. Duit pak ngah duit pak ngahlah. Pak ngah yang kerja. Mak ngah goyang kaki saja di rumah." Aku melawan juga sambil susun baju ke dalam beg pakaian.
"Huh!" Mak ngah tinggalkan bilik sambil hentak kaki.
Aku hela nafas. Aku harap mak ngah akan cepat berubah. Kesian sangat pada pak ngah sebab dapat isteri seperti mak ngah.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Store