ZingTruyen.Store

Cik Sederhana Dan Encik Segak

Bab 3

karyaseni2u

"NENEK dah meninggal!" beritahu pak ngah dengan nada sayu ketika aku baru selesai solat subuh. Nampak muka pak ngah pun benar-benar sedih. Siapa yang tidak sedih kalau dikhabarkan dengan berita kematian ibu kandung sendiri.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un..." Sayu perasaan tiba-tiba. Akhirnya nenek pergi juga. Walaupun semua ahli keluarga sedia maklum akan keuzurannya, namun berita itu tetap aku terima dengan perasaan hiba. Nenek yang tinggal bersama pak long ketika ini khabarnya hampir sebulan tidak boleh bergerak. Hanya terbaring sepanjang waktu sehinggalah nafas terakhirnya.

Mak ngah bukan main kelam-kabut sebaik sahaja berita duka dikhabarkan kepada kami. Bising mulutnya mengarahkan aku bersiap lekas.

Aduhai, primadona sungguh. Nak muntah aku tengok lakonan mak ngah. Begitu juga dengan Yani. Kelam-kabut tak tentu arah. Seperti sayang benarlah nenek tu. Tapi masa hidup buat nenek macam tunggul kayu. Dimaki hamun sesuka hati. Menyampahnya aku dengan manusia yang pandai bermuka-muka ni.

Aku sedar juga inilah peluang untuk mak ngah dan Yani bermuka-muka lagi. Berpura-pura mengambil hati sanak saudara yang lain. Seperti selalu dan sudah menjadi keinginan kedua beranak itu untuk menguasai semua keadaan. Mahu tunjuk betapa hebatnya mereka.

Tak tahan betul aku tengok. Kalaulah bukan nenek yang meninggal, memang tak ingin aku ikut. Tak sanggup nak tengok mak ngah main drama.

Tiba di kediaman pak long, aku lihat sudah berkumpul semua saudara-maraku yang kebanyakkan tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran. Hafiz juga ada bersama dengan bakal tunangnya.

Aku buat tak pandang. Bukan marah dengan apa yang berlaku, tapi aku menyampah nak tengok muka dia. Apatah lagi dengan bakal tunang dia yang ala-ala perempuan Melayu terakhir tu. Perempuan yang mak ngah cakap cantik gila. Memang cantik pun. Memang jauh berbeza dari aku. Tak apalah, memang aku tak kecil hati langsung. Aku sedar siapa diri aku.

"Cantiknya bakal tunang Hafiz tu. Putih melepak. Kalau nak bandingkan dengan kau, serupa aku bandingkan berlian dengan batu akek," bisik Yani. Acara menyakitkan hatiku pun bermula. Nampaknya sedih Yani atas kematian nenek benar-benar sandiwara. Kalau tak, pasti Yani pun tak tergamak nak sakitkan hati aku dalam keadaan kami semua bersedih.

"Tapi batu akek yang ramai orang mampu beli, kan? Lagipun aku tak hairan dengan bakal tunang Hafiz tu, sebaliknya aku rasa terhutang budi sangat dengan dia. Kalau tak disebabkan dia, mesti aku yang terpaksa jadi isteri Hafiz. Macamlah kau tak kenal dengan sepupu kita tu." Aku juga bisik perlahan. Dengan Yani mana boleh diamkan saja, nanti dia lagi pijak kepala aku. Jawab tetap jawab.

Yani tak balas, muka dia masam, bermakna dia kalah. Sebenarnya masing-masing dah tahu perangai Hafiz macam mana. Buruk sangat perangai lelaki tu.

"Aku rasa kau pun tak sanggup nak jadi bini Hafiz, kan?" Aku bisik lagi. Yani terus angkat kaki. Tahu pula marah.

Tengah aku duduk sendirian, Hafiz datang dekat.

"Aku nak cakap sikit ni," kata Hafiz.

"Cakaplah..." balasku nak tak nak. Malas sebenarnya nak bercakap dengan Hafiz.

"Aku tak nak kau buat perangai."

Aku pandang juga muka Hafiz walau aku memang tak nak pandang. Aku pandang sebab soalan Hafiz tu terasa pelik sangat. Buat perangai? Buat perangai apa?

"Kau cakap apa, ya. Aku tak faham."

"Aku tak nak kau kacau bakal isteri aku. Tak payah kut buat perangai bodoh nak rebut aku."

Ini dah melebih.

"Kenapa aku rasa nak muntah ni?" Aku pegang leher. Serius, aku rasa nak muntah.

"Kau ingat aku bodoh sangat nak berebut kau? Untuk pengetahuan kau Hafiz, aku rasa bersyukur sangat sebab kita tak jadi kahwin. Kau tahu apa sebabnya? Sebabnya kau tu lelaki tak guna. Lelaki dayus. Seribu rahmat bila kau tak jadi kahwin dengan aku." Aku cakap dengan perlahan demi menghormati keadaan. Kalau ikutkan hati aku, memang Hafiz tu teruk aku kenakan.

"Sedapnya mulut kau bercakap. Kalau tak disebabkan nenek meninggal, memang aku koyak mulut kau tu." Hafiz juga seperti sedang mengawal perasaan.

"Tak betul apa yang aku cakap ni? Kau sendiri tahu kau jenis yang macam mana, bukan? Kerja dahlah malas. Hidup pula bergantung dengan mak sendiri saja. Lepas tu ada hati nak kahwin. Tolonglah, Hafiz. Tolonglah insaf." Aku tak teragak nak kutuk Hafiz.

"Memang patut aku tak jadi nikah dengan kau ni. Kau memang perempuan jahat."

"Baguslah kalau kau fikir aku jahat. Aku jahat sekalipun, tak susahkan kau. Eh, baik kau blah saja. Aku takut nanti bakal isteri kau cemburu pula. Karang tak pasal sebab aku, kau orang bergaduh pula." Aku senyum-senyum.

Hafiz langsung tidak terkata. Dia terus tinggalkan aku selepas itu. Tapi hati aku cukup puas. Aku nak rebut Hafiz? Nak meraung-raung minta dia terima aku semula? Memang tidaklah. Jangan mimpi.

Macam-macam manusia ni.

Aku perhatikan pula Yani selepas itu. Seperti yang aku duga, Yani lebih mendapat perhatian berbanding aku sendiri. Yalah, aku tidak seramah Yani. Sepatah orang bertanya, sepatah aku menjawab. Tentang itu langsung tidak membuatkan aku berkecil hati. Aku sudah terlalu biasa dengan semua ini. Terpinggir sendiri. Sedih tu tetap sedih, tapi bak kata Kak Olin dan Kak Yan, rasa sedih dan berjauh hati tidak akan membuatkan kita tambah kaya. Nak tak nak, hadap sajalah semua ni.

Sehingga jenazah nenek dibawa, mak ngah dan Yani masih teresak-esak. Sayang benar mereka dengan nenek. Hampir saja ketawaku pecah melihat telatah dua beranak itu. Berjaya sungguh lakonan mereka. Mak ngah serupa lupa saja yang dia pernah minta nenek mati cepat. Aku pun tak faham dengan perangai mak ngah tu.

"Ini nenek suruh mak long bagi pada Rissa." Mak long serahkan sapu tangan kepadaku ketika kami berkumpul di ruang tamu. Aku dan beberapa lagi saudara-mara kaum perempuan tidak ikut serta ke kubur.

"Apa ni?" soalku. Aku buka simpulan sapu tangan. Segenggam barang kemas.

"Nenek tinggalkan untuk Rissa. Nenek kata Rissa anak yatim piatu. Jadi, nenek wariskan kesemua barang kemas dia pada Rissa," kata mak long lagi.

Tak naklah aku. Aku bukannya suka pakai barang kemas. Ini amanah. Aku pula bakal memikul tanggungjawab. Aku bimbang aku gagal bayar zakat nanti. Kalau mengikut pada berat, memang wajib ni bayar zakat.

"Saya terima pemberian nenek ni," kataku bersaksi semua saudara. Aku pandang mak ngah. Mak ngah senyum meleret. Seperti sudah terlayar apa yang sedang bermain dalam fikiran mak ngah. Oh! Silap hari bulan. Bukan seperti yang mak ngah fikirkan.

"Dengan ini saya serahkan hak milik saya ini kepada mak long. Selepas ni mak long nak buat apa pun, terserah pada mak long." Aku letak semua barang kemas di hadapan mak long juga bersaksi sanak saudara lain.

"Eh, mak long tak boleh terima. Semua ni arwah nenek beri pada Rissa." Mak long tolak pula di hadapanku.

Aku tolak semula.

"Semua barang kemas ni barang kemas jenis lama. Harganya sangat mahal. Saya takut saya lupa. Sayang kalau hilang macam tu saja. Mak long bukan tak tahu perangai saya sangat cuai. Mak long ambillah. Saya rasa mak long lebih berhak sebab selama ni mak long yang banyak jaga arwah nenek." Aku beri alasanku.

Mak long diam tapi mata mak long hanya tertumpu pada barang kemas di hadapannya. Aku tahu mak long juga berkeinginan terhadap barang kemas tersebut. Bukan mak long saja, bahkan menantu arwah nenek yang lain juga ada perasaan sama. Mak ngah usah ceritalah. Berlebih lagi. Jangan menipu aku dalam soal ini. Mak ngah tu bapak segala mata duitan.

"Kalau macam tu kata Rissa, mak long terimalah. Dari Rissa hilangkan macam tu saja, baik mak long jaga." Mak long ambil semula semua barang kemas tersebut.

Aku pandang wajah mak ngah. Berubah habis. Lepas ni siaplah kau, Rissa. Sah mak ngah basuh aku cukup-cukup. Tadah sajalah. Buat pekak. Aku lebih rela semua barang kemas tinggalan arwah nenek itu diberikan kepada mak long daripada jatuh ke tangan mak ngah. Berbaloi juga kerana mak long sudah bersusah payah menjaga nenek selama ini.

"Untuk penat lelah mak long jaga nenek selama ni," kataku perlahan.

"Terima kasihlah kalau Rissa rasa begitu."

Aku senyum puas. Mak long bawa barang kemas selepas itu. TinggAllah aku dan juga mak ngah. Yani sejak tadi membantu buat kerja mengemas rumah mak long. Tunjuk rajin. Eloklah tu. Bila lagi dia nak rajin, sebab selama ni dia memang pemalas yang amat sangat.

Mak ngah datang dekat. Mak ngah cubit lenganku kuat selepas itu.

"Apa mak ngah ni!" marahku. Tiba-tiba saja cubit aku. Buat perangai pula dia.

"Kenapa kau bodoh sangat, hah?" marah mak ngah dengan suara perlahan. Malu kalau orang lain dengar gamaknya. Tahu pula malunya.

"Bodoh apanya?" Aku jeling mak ngah.

"Yang kau bagi barang kemas pada mak long kenapa? Kalau kau tak nak, kau bagi saja pada aku. Bodoh betullah kau ni." Mak ngah tolak pula kepalaku.

"Kan mak long yang bersusah payah menjaga nenek selama ni. Jadi, mak long berhak dapat semua tu.

"Aku pun jaga dia juga."

"Mak ngah jaga nenek? Apa pasal saya rasa pelik sangat?" Aku tergelak. Bila tiba giliran keluarga pak ngah menjaga nenek, mak ngah tidak senang duduk. Ada saja yang tidak kena. Walaupun bukanlah kedua-dua beranak itu yang menjaga nenek, tetapi dikhabarkan kepada saudara-mara lain merekalah yang bertungkus-lumus menjaga dengan penuh kasih sayang. Katanya aku langsung tidak menyentuh badan nenek.

Itu cerita mereka yang aku dengar. Rasa nak muntah bila ingat balik. Pernah juga aku kena marah dengan pak saudara lain dengan tuduhan cucu tidak mengenang budi. Langsung tidak mahu menjaga nenek sendiri. Sakit betul hati.

Siapa pun tak tahu sepanjang nenek di rumah pak ngah, akulah yang bertungkus-lumus menjaga kebajikan nenek. Sebelum ke tempat kerja, aku mandikan nenek terlebih dahulu. Dipakaikan lampin pakai buang bagi mengelakkan nenek buang air sesuka hati. Kalau seharian aku bekerja maka seharian jugalah lampin pakai buang itu dipakai nenek. Tiada siapa yang sanggup menguruskannya. Namun yang mendapat nama orang lain. Apa pun aku tetap terima. Aku tetap percaya kalau berbuat baik, balasannya juga baik. Dan kalau sebaliknya balasan yang bakal diterima juga setimpal. Kalau tidak, masakan aku dapat semua barang kemas nenek. Walau nenek uzur masa tu, tapi nenek masih waras. Nenek tak buta, nenek nampak semua perbuatan mak ngah.

"Aku nak kau mintak balik semua barang kemas tu," desak mak ngah.

"Kalau mak ngah nak, mak ngah mintaklah sendiri. Saya tak tahu apa-apa. Takut buruk siku nanti."

"Hesy!" Mak ngah tolak kepalaku dengan kasar dan dia tinggalkan aku. Aku bersorak dalam hati. Dapat juga aku kenakan mak ngah.

Selesai semuanya, pak ngah dan mak ngah mahu pulang ke rumah terlebih dahulu kerana majlis kenduri tahlil hanya akan dilakukan selepas waktu isyak.

Dalam kereta mak ngah tak habis-habis membebel. Apa lagi kalau tak pasal barang kemas tinggalan arwah nenek tu. Semua mak ngah ungkit. Aku dan pak ngah buat pekak saja. Hanya mak ngah dan Yani saja membebel macam orang tak berapa cukup akal.

"Kita singgah makan kat restoran." Sudahnya mak ngah ajak pak ngah.

"Restoran mana pula? Kita makan kat gerai Cik Mah sudahlah."

"Saya cakap tak selera, tak seleralah. Janganlah membantah!" Mak ngah menengking. Kesian aku tengok abang arwah ayah ini. Kadang-kadang suka dengar cakap isteri. Itulah alasan kenapa aku masih bertahan tinggal di situ. Setidak-tidaknya aku dapat juga membalas perbuatan mak ngah terhadap pak ngah. Aku sayang pak ngah sebab pak ngah baik orangnya. Selalu ambil berat tentang aku.

"Kita turunkan Rissa di perhentian bas tu." Tiba-tiba mak ngah beri cadangan. Dah agak. Dia tak akan bawa sekali. Eh, ingat aku teringin sangat nak ikut?

"Apa salahnya kita bawa Rissa bersama?" Pak ngah seperti kurang bersetuju dengan cadangan mak ngah. Pak ngah tahu aku juga lapar kerana aku turut sama tidak menjamah sebarang makanan sejak pagi tadi.

"Baik tak payah. Kita nak makan sedap-sedap. Nanti buat saya tak selera saja," rungut mak ngah lagi.

"Tak apalah, pak ngah. Pak ngah turunkan saja saya kat situ. Nanti saya boleh balik naik bas." Aku bersuara. Tidak mahu diriku menjadi punca perbalahan antara pak ngah dan mak ngah. Bimbang tercekik pula nanti mak ngah. Tak hairanlah benda-benda semua tu. Aku pun kalau boleh nak mengelak. Aku lebih rela berlapar daripada berada dalam situasi yang menyakitkan hati.

Pak ngah seperti akur dengan permintaanku bila dia memberi isyarat untuk berhentikan kereta di hadapan perhentian bas.

"Rissa boleh balik sendiri, kan?" soal pak ngah dan aku nampak pak ngah seperti sangat serba salah. Kesian pak ngah.

"Boleh, macam tak biasa pula. Pak ngah jangan bimbang." Aku sedapkan hati pak ngah sambil tolak pintu kereta dengan perlahan tapi sempat jeling mak ngah.

"Ada kaki, ada tangan. Bukannya budak kecil lagi," bebel mak ngah dengan muka yang masih marah. Adoilah. Pasal barang kemas saja pun.

"Balik rumah terus tau," pesan pak ngah lagi.

Aku angguk.

"Eleh, kalau dia tak nak balik rumah pun tak apa. Tak hairan." Yani menyampuk.

Aku buat tak dengar. Terus keluar dari kereta.

"Cepatlah. Terhegeh-hegeh. Aku lapar ni!" marah mak ngah. Cepat aku tutup pintu kereta.

Aku melangkah perlahan menghampiri perhentian bas. Aku duduk kemudiannya di tempat duduk yang kosong. Ada seorang lelaki sedang menunggu bas juga. Lelaki yang berpakaian kemas lengkap bertali leher itu kelihatan sedikit cemas. Mungkin sedang menantikan seseorang atau mungkin sudah lewat untuk ke tempat kerja. Lewat apanya kalau sudah pukul satu tengah hari? Wei Rissa, jangan sibuklah hal orang.

Aku kipas muka dengan tangan. Memang panas membahang. Tekak sudahlah kering. Perut pula lapar. Aku pandang ke arah jalan di hadapannya. Melihat kalau-kalau ada bas yang bakal membawa aku ke kawasan perumahan pak ngah. Tapi kenapa yang aku terpandang hanya lelaki itu?

Sejak awal lagi lelaki itu kelihatan cukup gelisah. Wajahnya yang putih hampir kemerahan menahan bahang panas tengah hari. Terfikir juga, mungkinkah lelaki berpakaian kemas ini seorang penjenayah yang dikehendaki atau mungkin juga perogol bersiri, tidak pun seorang perompak? Jangan percaya dengan apa yang dipandang. Segak itu bukan bermakna bagus. Hodoh itu bukan juga maknanya buruk.

Memikirkan perkara buruk itu, aku tiba-tiba merasa bimbang. Bimbang bakal menjadi mangsa. Kenapa aku boleh terfikir perkara buruk begini? Ya, kerana aku selalu terkena. Dalam aku buat baik pun aku selalu terkena. Kalau aku buat jahat, bagaimana gamaknya? Lagi teruk kut.

Aku bangun bila terlihat ada sebuah bas bakal melintasi kawasan itu. Namun kecewa bila melihat itu bukan bas yang sedang aku tunggu. Aku duduk semula bersama perasaan yang tidak tenang. Kalau sesuatu berlaku pada diriku, di mana pula aku hendak meminta tolong memandangkan kawasan perhentian bas itu agak sunyi. Jauh dari pandangan orang ramai.

Lelaki bertali leher corak jalur warna kelabu masih lagi tidak berganjak. Masih resah seperti tadi. Aku jeling dengan ekor mata. Harap-harap tiada sebarang kejadian buruk menimpa diri.

Untuk menenteramkan perasaan sendiri, aku lihat jam tangan sekali lagi. Sudah tengah hari benar. Padanlah perut aku rasa semacam. Meronta-ronta minta diisi. Masa ni aku mula terbayang mak ngah dan Yani sedang menjamu selera. Aku pula ditinggalkan sendirian. Sampai hati buat anak yatim piatu macam ni.

"Saudari," tegur lelaki itu tiba-tiba.

Gila tak terkejut. Tiba-tiba saja menegur. Tak tahu nak bagi salam ke? Dengan perasaan berdebar, aku menoleh melihat ke arah lelaki itu.

Lelaki itu diam kemudiannya seperti serba salah untuk menyuarakan sesuatu. Menyesal ke sebab dah tegur aku?

"Saya ada masalah sikit," kata lelaki itu dengan teragak-agak. Kelihatan wajah lelaki itu tambah cemas. Matanya tak sudah merenung aku. Tengok pada rupa paras memang tak ada muka orang jahat. Muka model pisau cukur pun ada.

Aku menanti dengan sabar apa yang ingin disampaikan oleh lelaki yang berpakaian kemas itu tanpa bersuara.

"Dompet saya hilang." Dia pandang wajahku.

Masalahnya aku bukan balai polis nak terima aduan dompet orang hilang.

"Lepas tu kereta saya ada masalah sikit." Dia sambung bercakap. Dan masalahnya aku bukan tauke bengkel kereta.

Lelaki wajah model pisau cukur kembali ke keadaan serba salah. Nampak sangat tak tentu arah. Aku andaikan dia ni memang ada masalah bercakap dengan orang. Bajet bagus kut.

"Ya, boleh saya bantu?" Aku bercakap sebab tak nak dia fikir aku ini batu.

Dia masih begitu. Tak tentu arah. Makin tak betul aku tengok lelaki ni.

"Boleh tak saya pinjam duit sedikit? Tambang naik bas pun saya tak ada." Akhirnya dia berterus terang. Oh, kisahnya. Tengok pada gaya memang macam ya. Tapi takkan tak ada telefon bimbit. Minta tolong siapa-siapa jemput dia.

"Telefon bimbit saya pula bateri kong." Dia tunjuk handphone dia jenama buah yang boleh dimakan.

Macam dengar saja apa yang aku cakap. Mustahil bateri kong, tak ada power bank ke? Tengok gaya macam orang kerja bagus saja. Power bank pun tak larat nak beli ke?

"Encik nak ke mana?" soalku tanpa menghiraukan niat sebenar lelaki tersebut.

"Menara Hisyam Ali," jawab lelaki itu pantas.

Pernah juga aku mendengar tentang tempat yang dimaksudkan lelaki itu.

"Tempat tu berhampiran dengan Persiaran Utama, bukan?" soalku inginkan kepastian. Lelaki itu anggukkan kepalanya.

"Saya rasa tak ada bas yang pergi kawasan tu. Encik terpaksa naik teksi." Adalah juga rasa sedikit simpati. Mungkin lelaki ini benar-benar dalam kesusahan.

"Macam ni, encik naik teksi sajalah," cadangku sambil hulurkan wang kertas bernilai lima puluh ringgit, pemberian salah seorang emak saudara tadi. Lelaki itu menyambutnya dengan tangan yang menggeletar. Dia pandang aku dengan wajah yang betul-betul serba salah. Agaknya sebelum ini dia belum pernah berbuat demikian. Tiba-tiba dia buka jam tangannya dan serahkan kepadaku.

"Kenapa pula ni? Saya bukan nak beli jam encik," ujarku sambil menolak pemberian lelaki itu. Rasa sangat pelik.

"Tidak, ini sebagai cagaran."

"Eh, saya tak nak," tolakku dengan bersungguh lagi.

"Saudari ada pen dengan kertas?"

Alahai, macam zaman dahululah pula. Mujur aku ada simpan buku dan pen. Itu pun untuk catat hutang mak ngah dan Yani. Dan juga sebagai buku belanjawanku.

Aku serahkan buku tersebut, pandai-pandailah cari ruang kosong.

"Ini alamat tempat kerja saya dan nombor telefon pejabat saya. Nombor telefon bimbit saya pun ada sekali. Nanti hubungi saya bila ada kelapangan untuk pulangkan jam saya tu," katanya lagi.

Ke, ini salah satu cara nak bagi nombor telefon kepadaku? Jangan buat lawak, Rissa. Orang tu tak pandang kau pun. Dia benar-benar tengah susah tu.

Aku renung wajahnya. Mungkin dia benar-benar dalam kesusahan. Kalau tidak, kenapa jam tangan berjenama terkenal boleh dijadikan cagaran?

"Encik jangan macam ni, saya betul ikhlas nak tolong encik. Kalau orang lain pun saya tolong juga. Lagipun jam encik ni mahal. Saya bimbang kalau saya hilangkan nanti. Satu hal pula saya nak ganti." Aku merayu. Yalah, karang tak pasal-pasal aku kena ganti pula. Aku sudahlah pelupa.

"Tu aje caranya. Kalau tidak, macam mana caranya saya nak pulangkan duit awak ni?"

"Saya niat nak sedekah, encik."

"Maaf, saya bukan peminta sedekah."

Belum apa-apa sudah nampak egonya. Tu kalau tak terdesak, takkan hancur ego dia. Ah! Suka hatilah. Sedang aku berkira-kira sambil membelek jam tangan lelaki itu, lelaki itu sudah menahan teksi. Alahai, teksi ni pun satu. Tadi punyalah lama tak pula muncul.

"Kalau saudari ada masa pulangkan, kalau tidak saya halalkan saja," kata lelaki itu di dalam teksi sambil tersenyum.

Pula dah. Tadi cakap lain, sekarang cakap lain. Aku terpinga-pinga melihat lelaki itu dibawa teksi sambil melihat alamat yang tertulis di helaian muka surat yang tidak bertanda dengan hutang sesiapa.

Ziyad Shaari. Pergh, nama. Macam nama artis. Betul kut dia ni model pisau cukur.

MASA aku baru selesai makan nasi bungkus, pak ngah, mak ngah dan Yani sampai. Muka masing-masing nampak betul kekenyangan. Mak ngah pun nampak macam tak marah-marah lagi. Biasalah, kalau perut mak ngah penuh, memang macam tu.

"Eh, ada orang makan nasi bungkus aje? Kesiannya..." Yani datang ke meja makan dengan gaya gedik. Karang aku makan nasi, dia ni makan pelempang. Masih nak perli-perli aku.

"Makan nasi bungkus pun kenyang. Alhamdulillah..."

"Tapi tak sama makan di restoran. Sedap gila."

Selepas itu bangun untuk basuh tangan. Bungkusan makanan aku buang dalam bakul sampah. Buka peti sejuk untuk ambil bekas minuman. Kemudian duduk semula.

"Eh, aku nak kau mintak balik barang kemas tu. Aku tak kira." Mak ngah datang ke dapur masa aku hendak minum. Kan aku dah cakap. Kes ni tak akan selesai macam tu saja. Inilah bahan mak ngah nak kenakan aku. Selagi aku tak ambil semula barang kemas tu, selagi itulah takkan senang hidup mak ngah.

"Kan saya dah cakap, kalau mak ngah nak barang kemas tu, mak ngah mintaklah sendiri. Saya tak tahu. Tanggungjawab saya dah lepas." Aku teguk air.

"Kenapalah kau ni bodoh sangat? Agaknya mak kau dulu memang bodoh. Memang dari keturunan bodoh sebab itu kau jadi bodoh sama." Mak ngah tolak kepalaku. Aku tahu, bukan sedikit rasa marah mak ngah.

"Mungkin kut. Sebab saya bodoh, tak pandai jaga barang kemas tu, jadi saya bagi ajelah pada mak long jagakan. Karang kalau orang bodoh yang jaga tak tahu jadi apa." Aku perli mak ngah semula.

Mak ngah nampak tak terkata. Terasa agaknya aku menyindir dia.

"Memanglah kau ni bodoh." Yani pula menyampuk.

"Aku bodoh susahkan kau ke? Aku yang bodoh, kau pula yang susah hati." Aku tanya Yani dengan berani.

"Masalahnya, kalau kau nak jadi bodoh, kau bodoh soranglah. Jangan melibatkan kami," marah mak ngah.

"Saya tak melibatkan mak ngah apa-apa pun."

"Memang dasar tak sedar diri!" Mak ngah tengking.

"Ini apa hal lagi ni?" Pak ngah datang menghampiri kami.

"Anak saudara awak nilah. Memang bodoh betul."

"Tak habis lagi pasal barang kemas tu? Memang betul pun tindakan Rissa. Kalau dia bawa balik semua barang kemas arwah mak tu, awaklah yang tukang kebas. Saya setuju sangat Rissa serahkan pada kak long." Pak ngah ambil gelas. Kemudian duduk bersebelahan denganku.

"Awak ni, sokong saja apa yang anak saudara awak lakukan. Barang kemas tu bernilai tahu tak? Paling-paling tiga puluh ribu kita boleh dapat." Mak ngah membebel.

"Tengok. Saya dah agak. Mesti awak nak jual. Memang elok sangat Rissa tak bawa balik rumah."

"Saya nak senangkan awak juga. Mana tahu dapat bayar hutang awak." Suara mak ngah tambah lantang. Pelan-pelan aku bangun. Pasti selepas ini bakal terjadi pertengkaran. Jadi lebih baik aku jangan masuk campur.

"Hah, kau nak ke mana pula? Aku belum habis lagi bercakap." Mak ngah panggil aku.

"Saya nak tidurlah, mak ngah. Sakit telinga dengar mak ngah membebel." Aku bergerak ke bilik. Ingat nak tidur kejap. Malam karang entah pukul berapa pula dapat tidur kalau dah ke rumah mak long.

"Disebabkan abang suka sangat bagi mukalah budak tu jadi kurang ajar sangat. Dahlah menumpang, tak sedar diri!" Mak ngah mula mengungkit. Tapi tak mengapa, sikit hari lagi aku akan balik semula ke Cameron Highlands. Memang betul-betul aman. Mesti aku rindukan suara mak ngah. Tak, aku buat lawak saja. Tak pasal nak rindu-rindu.

Mak ngah dan pak ngah masih berlawan cakap masa aku letak badan atas katil. Nikmatnya dapat baring selepas makan. Apa yang berlaku di luar, aku tak mahu ambil tahu. Aku nak tidur. Tapi tak boleh. Lelaki di perhentian bas tadi serupa terbayang-bayang saja. Walau tak berapa nak ingat muka dia, tapi aku masih teringat akan susuk tubuhnya.

Ah! Rissa, jangan sibuklah nak ingat orang. Tidur lagi baik. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Store