Bab 7
PEJAM celik pejam pelik, hampir 6 bulan menjalani kehidupan di sini. Aku sangat gembira menjalani hari-hariku. Bertekak dengan Azrai tu sudah menjadi kebiasaan. Bergaduh dengan Kak Ema dah kira perkara wajib, tapi semua menjadikan hidupku penuh dengan warna-warni. Tanpa semua itu, hidup ini terasa hambar.
Sedar tak sedar, sebenarnya inilah kehidupan yang perlu aku jalani. Apa pun, aku tetap gembira.
"Dah siap bilik tu?" soal Adibah sebaik sahaja aku sampai lobi.
"Dah," jawabku. Ada tetamu yang mahukan bilik eksklusif dan ingin menginap selama 3 hari. Sabtu, Ahad dan Isnin. Harap tak banyak songeh. Selalu tetamu lelaki tak banyak bunyi, tetamu perempuan yang selalunya melebih. Ada saja yang tak kena.
"Pasangan nak berbulan madu ke?" Aku kepohchi sikit. Selalunya tetamu yang mahukan bilik tu merupakan pasangan pengantin baru.
"Rasanya."
Aku angguk dan beredar. Masa untuk aku bersihkan kawasan luar homestay. Ada pokok-pokok bunga yang memerlukan perhatianku. Sejak 6 bulan memang kerja aku tanam pokok-pokok di halaman homestay. Pasti saja bunga calla lily menjadi pilihanku di samping aku buatkan taman mini bunga ros.
Yang buat aku rasa sangat gembira ialah bila ada tetamu yang kagum dengan usahaku dan ada yang memuji. Terasa penat lelahku dihargai.
Sebuah kereta masuk ke kawasan letak kereta. Aku perhatikan saja. Seorang lelaki keluar dari kereta. Awal dia sampai. Sepatutnya daftar masuk bermula pukul 12.00 tengah hari ke atas.
Lelaki yang memakai pakaian agak ringkas, jean dan T-shirt warna kelabu bertangan pendek menghampiriku.
Aku tersenyum. Polisi homestay harus senyum selalu.
"Boleh saya bantu, encik?" Aku bermanis kata. Namun lelaki tinggi lampai dan berambut pendek sekadar memandang aku. Rasa-rasa seperti pernah jumpa, tapi tak ingat di mana. Serius, memang pernah jumpa, tapi aku tak ingat langsung.
Lama dia pandang aku sehingga aku rasa semacam. Dia pandang aku serupa tak pernah tengok perempuan kerja tukang kebun. Hina sangat ke kerja sebagai tukang kebun?
Tapi serius, aku rasa pelik sangat. Cara dia pandang aku seperti seorang kekasih memandang kekasihnya yang lama dia tak jumpa. Macam nak peluk aku pun ada. Tak, aku saja yang rasa macam tu.
"Ya, encik?" Aku tegur dia. Tidak mahu terus-terusan dipandang pelik.
"Dah boleh check in ke?"
Alahai, nak tanya benda tu saja rupanya.
"Selepas pukul dua belas, encik," jawabku. Itu kira dah baik. Ikutkan tempat lain selepas pukul 2.00 petang baru boleh daftar masuk.
"Habis, sementara pukul dua belas saya nak buat apa?"
Tanya aku pula. Dah tak tahu buat apa, buat bodohlah. Dia yang datang awal, siapa suruh?
"Encik bolehlah jalan-jalan dulu ke..." Aku beri cadangan. Nak suruh dia bawa isteri atau kawan tengok Cameron Highlands, nampak kereta dia kosong. Dia makan angin sorang-sorang aje agaknya.
Dia pandang aku lagi. Seperti hendak bercakap semula tapi mungkin tak tahu nak cakap apa. Akhirnya tanpa membalas kata-kataku, dia ke keretanya semula.
Macam-macam perangai manusia ni.
"Kenapa?" soal Adibah sebaik sahaja kereta lelaki tu beredar pergi.
"Mamat tu la. Dia tanya boleh check in tak? Aku jawablah selepas pukul dua belas baru boleh. Lepas tu merungut. Dia nak buat apa sementara nak sampai pukul dua belas?"
"La, itu pun minta kita tolong fikir ke?" balas Adibah.
"Itulah pasal," balasku.
"Tu kadang-kadang aku bengang dengan pelanggan ni. Benda-benda senang pun minta tolong kita. Tak boleh nak fikir sendiri ke?" Adibah membebel.
"Ada ke patut. Masa nak datang sini tak merancang dulu ke. Yang aku angin ni, boleh dia tanya dia nak buat apa. Adoi!" Pagi-pagi buat aku berangin saja.
"Ingat kita ni apa agaknya?" sambung Adibah. Kemudian dia terus tinggalkan aku.
Memang betul cakap Adibah tu. Benda remeh pun minta kami tolong. Memang kadang-kadang buat kami bengang saja. Yang buat aku pelik sangat tentang lelaki seorang ni, bukan saja dia dah buat aku bengang, tapi kenapa dia pandang aku semacam? Rasanya aku tak pernah berhutang apa-apa dengan orang.
Aku sambung buat kerja. Tapi tak sampai setengah jam, lelaki tu muncul semula. Alahai, tak pandai tengok jam ke dia ni?
Dia datang menghampiriku dengan muka jelas-jelas nampak tidak puas hati.
"Masih tak boleh check in ke?" soalnya.
Memang tak faham bahasa betullah lelaki ni.
"Kejap, saya tanya orang dalam." Aku masuk semula ke lobi.
"Dib, kau bagi ajelah lelaki tu check in. Aku dah menyampah sangat tengok muka dia. Jenis tak faham bahasa."
"Dia datang balik ke?" soal Adibah.
"Haah. Ni yang buat aku bengang sangat."
"Yalah. Kau suruh sajalah dia masuk. Habis cerita." Adibah juga mengalah. Nak diapakan lagi kalau dah nak masuk sangat, masuk sajalah.
"Menyusahkan orang betul." Aku merungut sendirian sambil melangkah menghampiri lelaki yang masih tercegat di situ.
"Encik boleh check in sekarang." Aku beritahu lelaki tu. Dia masih pandang aku semacam. Tak berkedip.
"Encik boleh check in sekarang." Aku beritahu sekali lagi bila melihat lelaki tu seakan khayal dan tak sedar diri. Entah apa penyakitlah. Sudahlah menyusahkan orang, sekarang tunjuk pula perangai tak serupa orang.
"Oh, okey." Dia berjalan masuk ke dalam homestay selepas itu.
Oh, okey saja? Tak cakap langsung terima kasih. Memanglah tak harap, tapi sekurang-kurangnya hargailah sikit usaha aku yang tengah sakit hati ni.
Selesai bersihkan sekitar homestay, aku pulang ke rumah untuk rehat. Lepas masak dan solat zuhur, aku kembali ke homestay. Hari ini semua bilik homestay penuh memandangkan cuti hujung minggu.
Masa tiba di ruang lobi, aku lihat lelaki tu sedang duduk di atas kerusi yang terdapat di situ. Elok saja dia nampak aku, terus dia bangun dan berjalan menghampiriku.
"Tolong tukar cadar katil saya," pintanya.
"Encik, nanti saya minta salah seorang lagi pekerja tolong tukarkan." Adibah cepat-cepat menyampuk.
Lelaki tu toleh pandang Adibah. Kemudian pandang aku semula.
"Saya nak awak yang bersihkan bilik saya sekarang juga!" Lelaki tu keluarkan arahan dengan nada suara agak tinggi hingga membuatkan aku tersentak. Apa hal pula mamat ni main tengking-tengking? Ingat dia besar sangat ke?
"Baik, encik. Saya kemas bilik tu sekarang. Tak payah kut nak tinggikan suara." Aku menjawab.
"Habis, masing-masing tak faham bahasa!"
"Bukan tak faham bahasa, tapi kawan saya cakap yang betul. Bahagian saya lebih kepada urusan di luar kawasan homestay. Kami sudah ada tugas masing-masing." Aku menjawab lagi.
"Itu saya tak tahu. Sekarang ni saya mahu awak yang kemaskan bilik saya."
Memang menaikkan darah aku saja lelaki seorang ni. Dia yang tak faham bahasa, tuduh orang pula.
"Dahlah, Rissa. Kau pergi sajalah kemas bilik tu," arah Adibah. Aku tengok muka Adibah merah semacam. Rasanya dia sedang mengawal perasaan marah. Bila berhadapan dengan pelanggan yang cerewet, kami memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
Akur dengan arahan Adibah, aku melangkah longlai walau aku rasa macam nak makan orang saja.
Aku pergi ke bilik penyimpanan barang untuk ambil cadar dan sarung bantal. Kemudian bawa semuanya ke bilik lelaki tersebut. Sampai bilik, aku tengok semuanya masih dalam keadaan baik. Cadar juga nampak bersih. Apa yang tidak kena? Ingatkan perempuan saja yang cerewet. Rupanya lelaki pun sama.
Nak tak nak, terpaksalah tukar semula cadar. Buat seperti lelaki tu minta.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Store